Ketika usia di mana rakan sebaya sedang sibuk merancang dan membina masa depan, adik ini pula Allah pilih untuk dididik di madrasah-Nya, melalui jalan-jalan kasih sayang-Nya.
Ujian yang dilalui oleh adik Puteri Myra Natash bukanlah perjalanan yang mudah. Ketika masih menuntut di Tingkatan 5 di Kolej Tengku Kursiah, beliau disahkan menghidap Kanser Limfoma tahap 2.
Hari ini, ujian itu berlanjutan ke tahap 4. Empat tahun menjadi saksi ketabahan yang terus dibina; rawatan yang tidak pernah terhenti, dan doa yang sentiasa mengiringi setiap langkahnya.
Yang menyentuh hati kami semasa ziarah di Taman Pelangi Semenyih semalam, bukan sahaja ketenangan yang terzahir daripada adik Myra Natash, tetapi juga kekuatan luar biasa ibunya, Puan Nor Hasliza. Kekuatan yang lahir daripada ikatan saling menguatkan; ibu yang tabah, anak yang cekal, bersama-sama menghadapi ujian dengan penuh tawakal.
Saya doakan agar adik Myra Natash terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan setiap urusan rawatan, dan dianugerahkan kesembuhan oleh Allah SWT, manakala Puan Hasliza sentiasa diberi kekuatan dalam mendampingi anaknya.
Semoga ujian ini menjadi jalan meninggikan darjat, menghapuskan dosa, serta menumbuhkan jiwa yang lebih utuh untuk hari-hari mendatang.

