Saya berpeluang menziarahi Ustazah Marijah, pengusaha KAFA An-Najah, bagi mendapatkan maklum balas terkini mengenai situasi sekolah. Beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya perancangan pembangunan baharu hanya dapat dimulakan dalam RMK seterusnya, sedangkan keperluan untuk berpindah semakin mendesak.
Beberapa lokasi sementara ditinjau sebagai pilihan, namun kebanyakannya berdepan pelbagai kekangan, baik dari segi pemilikan mahupun kesesuaian tapak.
Kami turut berbincang secara umum mengenai beberapa tapak alternatif, termasuk kawasan sekitar Taman Pelangi Semenyih dan kawasan berhampiran masjid.
Namun begitu, setiap kemungkinan ini masih perlu diperhalusi bersama pihak berautoriti agar keputusan yang diambil kelak benar-benar menepati keperluan sekolah dan anak-anak yang belajar di dalamnya.
Dalam kesempatan tersebut, saya juga menziarahi suami beliau, Haji Zainuddin, lebih dekat dipanggil Tok Din, bekas ketua kampung yang kini diuji dengan kesihatan.
Meskipun begitu, semangat beliau tetap tinggi. Beliau sempat menitipkan pandangan dan cadangan sementara demi memastikan KAFA An-Najah dapat terus beroperasi tanpa gangguan.
Insya-Allah, saya dan pasukan akan mengatur pertemuan lanjutan dengan pihak berkaitan. Mudah-mudahan Allah permudahkan kita menemukan jalan terbaik demi kelangsungan KAFA An-Najah dan masa depan anak-anak kita.
NUSHI MAHFODZ

