Ujian tidak menunggu; ada yang datang perlahan, ada pula yang hadir bertimpa-timpa. Apa yang kita harapkan dalam menempuh setiap ujian, kita berupaya untuk berserah sepenuhnya kepada-Nya, agar kita tetap dinilai berjaya di sisiNya.
Ketika Puan Samsidar sedang dirawat di wad akibat terjatuh sehingga mengalami patah pinggul hujung bulan lalu, beliau menerima satu panggilan yang mengejutkan.
Anak beliau memaklumkan bahawa suaminya, Encik Azam, tiba-tiba tidak sedarkan diri di rumah. Ambulans segera dipanggil, dan dengan izin Allah SWT, Encik Azam dibawa ke hospital yang sama tempat isterinya sedang menerima rawatan.
Encik Azam dahulunya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dan pernah mewakili negara sebagai atlet seni mempertahankan diri. Tubuh yang dahulu gagah dan aktif kini diuji dengan pelbagai masalah kesihatan.
Selain menghidap kencing manis, beliau pernah mengalami strok ringan pada Oktober lalu, diikuti serangan strok kali kedua pada hujung tahun yang menyebabkan beliau kini terlantar.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjalani rawatan susulan berkaitan batu hempedu di Hospital Kajang.
Puan Samsidar pula, selepas insiden jatuh tersebut, kini menjalani kehidupan harian dengan bantuan kerusi roda.
Semalam, saya dan isteri bersama sahabat-sahabat Halwa berkesempatan meneruskan Ziarah Kasih ke kediaman mereka di Taman Pelangi Semenyih.
Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk turun sendiri melihat denyut kehidupan rakyat, mendengar keluh kesah, dan memahami realiti ujian yang mereka hadapi. Insya-Allah, usaha menyantuni serta menjaga kebajikan rakyat akan terus diperkasakan agar tiada yang terpinggir.
Mudah-mudahan Encik Azam dan Puan Samsidar dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesembuhan. Semoga setiap ujian ini menjadi penghapus dosa, dan digantikan Allah SWT dengan ganjaran yang lebih besar di sisi-Nya.

