1. Penduduk Kampung Sungai Pening tidak pernah menolak pembinaan Jalan Pintas Sungai LalangโSILK. Semua pihak memahami keperluan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih yang telah berlarutan sejak sekian lama.
2. Malah, penduduk sendiri telah mengemukakan cadangan agar semua rizab jalan sedia ada di kawasan ini dibuka terlebih dahulu. Terdapat tiga hingga empat rizab jalan yang jika dimanfaatkan, mampu menyediakan akses terus ke Lebuhraya SILK, Kampung Naqsabandiah dan Sunway Semenyih.
Penyelesaian ini bersifat lebih menyeluruh dan berpotensi menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas tanpa memerlukan pembinaan jalan pintasan baharu yang mengambil tanah penduduk.
3. Ramai pemilik tanah hanya menyedari kewujudan projek ini apabila juruukur memasuki kebun mereka tanpa sebarang kebenaran. Setelah mendapat maklumat tentang jajaran jalan pintas tersebut, penduduk telah menghantar bantahan rasmi kepada YAB Menteri Besar Selangor. Sehingga hari ini, tiada sebarang maklum balas rasmi diterima.
4. Keadaan menjadi lebih mengejutkan apabila penduduk dimaklumkan bahawa satu majlis pecah tanah akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri di kampung mereka. Tanpa sebarang perbincangan awal, tanah-tanah milik penduduk yang masih mempunyai geran sah telah ditanda sebagai jajaran jalan baharu.
5. Lebih mengelirukan, jalan pintas ini telah lebih awal dimasukkan dalam bahan promosi projek perumahan Anyara Hills sebagai akses 25 minit terus ke Lebuhraya SILK.
6. Di sinilah persoalan besar mula timbul. Jika jalan ini masih di peringkat perancangan dan belum melalui sebarang rundingan dengan pemilik tanah, mengapa laluan tersebut telah digunakan sebagai USP (Unique Selling Proposition) jualan projek perumahan ultra mewah?
7. Bagi mendapatkan penjelasan, saya telah mengadakan pertemuan bersama pihak pemaju Anyara baru-baru ini. Dalam pertemuan tersebut, kami turut membentangkan cadangan alternatif yang lebih baik serta kurang menjejaskan penduduk setempat.
8. Namun, penjelasan yang diberikan tidak menjawab kebimbangan utama penduduk. Pihak pemaju memaklumkan bahawa mereka hanyalah pelaksana dan jajaran jalan telah ditentukan oleh MPKj.
9. Dalam pertemuan bersemuka bersama pihak JWP, mereka memaklumkan bahawa jajaran tersebut ditentukan oleh MPKJ.
10. Ini membingungkan kerana sebelum ini penduduk telah bertemu pihak perancang Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). Jawapan yang diterima adalah mereka tidak mempunyai kuasa kerana jajaran ditentukan oleh JWP.
11. Akhirnya, rakyat dibiarkan terperangkap dalam situasi saling menuding jari:
โข Pemaju menyatakan jajaran ditentukan oleh MPKj
โข JWP juga memaklumkan ia keputusan MPKJ
โข Tapi MPKJ menyatakan jajaran ditentukan JWP
12. Maka persoalan tatakelola yang serius perlu diperjelaskan: apakah mekanisme semak dan imbang yang digunapakai dalam penentuan jajaran ini, apabila setiap agensi saling menafikan kuasa membuat keputusan, namun kesannya ditanggung sepenuhnya oleh pemilik tanah?
13. Isu ini menjadi lebih serius kerana tanah yang terlibat merupakan Tanah Simpanan Melayu berstatus Hak Milik Kekal, yang tertakluk kepada prosedur perundangan yang sangat ketat. Sebarang keputusan melibatkan pengambilan atau perubahan guna tanah kategori ini tidak boleh dibuat secara semborono, apatah lagi tanpa libat urus jelas bersama pemilik sah.
14. Dalam pertemuan tersebut juga, wakil pemaju berulang kali menyatakan bahawa Tanah Rezab Melayu tidak terlibat kerana telah dibuat proses pertukaran tanah (land swap).
15. Namun perlu ditegaskan bahawa proses land swap tersebut hanya melibatkan tanah perkuburan JAWI, dan bukan jajaran jalan pintas yang kini mengancam tanah persendirian penduduk yang masih bergeran serta berstatus Tanah Simpanan Melayu.
16. Apabila keputusan besar dibuat tanpa dialog awal, tanpa perbincangan terbuka dan tanpa penjelasan hitam putih kepada pemilik tanah, keresahan rakyat menjadi semakin mendalam.
17. Penduduk turut memaklumkan bahawa pernah berlaku isu pencerobohan tanah sebelum ini melibatkan pihak yang sama dan diselesaikan di luar mahkamah. Perkara ini menambah kebimbangan serta mengukuhkan keperluan penelitian yang lebih rapi oleh pihak berkuasa.
Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab saya adalah memastikan hak penduduk tidak diketepikan dan suara mereka tidak dipinggirkan dalam proses pembangunan.
Kita memerlukan anjakan ke arah tadbir urus yang lebih berintegriti, beradab dan berperikemanusiaan. Saya menyeru semua pihak agar kembali ke meja rundingan secara terbuka dan jujur.
Pembangunan mesti berteraskan keadilan dan akauntabiliti supaya ia benar-benar membawa manfaat bersama, bukan meninggalkan rakyat teraniaya di tanah sendiri.

