Pada bulan September 2023, kami menerima aduan daripada Puan Azlina berhubung sebatang pokok yang terlalu tinggi dan berisiko di Jalan Besar Beranang.
Sebelum itu, Puan Azlina sejak 2022 telah berkali-kali berhubung dengan JKR dan MPKj, namun belum dapat diselesaikan berikutan kekeliruan bidang kuasa antara dua agensi.
Setelah menerima aduan Puan Azlina, kami usahakan untuk memudahcara isu ini antara kedua-dua agensi. Proses ini mengambil masa yang panjang kerana isu pertindihan bidang kuasa yang berlarutan.
Follow-up dibuat berkali-kali, sehinggalah pada 15 Julai 2024, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan bahawa siasatan telah selesai dan kelulusan bagi kerja-kerja pemotongan pokok telah diperoleh. Pelaksanaan kerja dimaklumkan akan dibuat oleh kontraktor selepas proses lantikan.
Namun, awal bulan ini kami dimaklumkan semula oleh pengadu bahawa selepas lebih setahun, masih belum ada sebarang tindakan.
Susulan itu, kami mengirim emel rasmi kepada MPKj bagi mendapatkan pengesahan status dan tindakan lanjut. Alhamdulillah, tindakan akhirnya telah dilaksanakan semalam.
Terima kasih kepada pengadu atas kesabaran dan sikap tidak putus asa yang ditunjukkan. Penghargaan juga kepada pihak MPKj atas kerjasama dan semua pihak yang terlibat.
Keselamatan awam tidak wajar diremehkan akibat kekeliruan pentadbiran atau pertindihan bidang kuasa. Kami berharap penyelarasan antara agensi dapat diperkukuhkan, dan setiap keputusan yang telah diluluskan dapat dilaksanakan tanpa tangguh, khususnya apabila melibatkan risiko terhadap nyawa dan keselamatan orang awam.

