๐—œ๐—บ๐—ฝ๐—ถ๐—ฎ๐—ป ๐—ฆ๐—ฒ๐—ฏ๐˜‚๐—ฎ๐—ต ๐—š๐—ฒ๐—น๐—ฎ๐—ป๐—ด๐—ด๐—ฎ๐—ป๐—ด ๐˜‚๐—ป๐˜๐˜‚๐—ธ ๐—ฆ๐—ฒ๐—บ๐—ฒ๐—ป๐˜†๐—ถ๐—ต

Semalam, secawan teh O panas menjadi saksi kepada satu perbualan bersama S. Sarawanan, seorang tokoh seni bela diri yang telah melalui perjalanan panjang sebagai atlet, jurulatih kebangsaan dan pembina bakat di peringkat akar umbi.

Perbualan itu tidak berkisar tentang pencapaian peribadi atau kejayaan beliau, tetapi tentang satu persoalan asas: bagaimana menyediakan ruang latihan yang benar-benar sesuai untuk membimbing minat dan bakat anak-anak muda secara tersusun dan berterusan.

Pengalaman Sarawanan memberi konteks yang kukuh kepada perbincangan ini. Beliau bukan sekadar pernah bertanding di peringkat tertinggi, malah terlibat secara langsung dalam pembangunan atlet di pentas Asia, Komanwel, Olimpik Belia dan Sukan SEA. Ini adalah satu perspektif lapangan yang jarang dimiliki dalam perbincangan pembangunan sukan di peringkat komuniti.

Di Semenyih, sambutan terhadap seni bela diri sentiasa menggalakkan dengan komitmen jurulatih dan sokongan ibu bapa yang memberangsangkan. Namun dalam banyak keadaan, latihan masih dijalankan dalam ruang sementara yang tidak direka untuk latihan berstruktur jangka panjang.

Isu keperluan gelanggang ini juga pernah saya bangkitkan secara rasmi di Dewan Negeri Selangor. Jawapan yang diterima menjelaskan bahawa penyediaan kemudahan tertakluk kepada kekangan peruntukan dan perlu melalui permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan.

Namun pengalaman di lapangan menunjukkan bahawa perbincangan tentang gelanggang tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut bilangan atau lokasi.

Dalam konteks ini, gelanggang bukan sekadar soal bumbung dan lantai, tetapi ruang latihan khusus bagi seni bela diri, direka untuk memenuhi keperluan keselamatan, disiplin dan latihan berstruktur. Ia tentang hala tuju demi memastikan bakat yang ada tidak terbiar dan potensi generasi muda Semenyih dibimbing secara selamat dan konsisten.

Berasaskan keperluan komuniti dan pengalaman lapangan, peranan saya adalah memastikan isu pembangunan belia ini dibawa ke perbincangan dasar dan saluran pentadbiran yang sewajarnya, dengan fokus kepada penyelesaian yang berfungsi dan realistik.

Semoga perbincangan ini membawa kepada pendekatan yang lebih tepat dan berkesan demi masa depan belia Semenyih.

#SemarakSemenyih

#BaktiDemiSelangor