Tugas dan Fungsi Ahli Dewan Negeri (ADN)

Ramai yang menganggap peranan ahli Dewan Negeri (ADN) kurang signifikan berbanding fungsi seorang Ahli Parlimen walaupun kedua-dua mereka mempunyai  tanggungjawab yang sama. 

Di Malaysia, pilihan raya negeri diadakan setiap lima tahun sekali untuk memilih perwakilan baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. 

DUN diberi kuasa untuk menggubal undang-undang bagi perkara-perkara yang tersenarai dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama, contohnya seperti hal ehwal tanah, pertanian, perhutanan dan kebajikan sosial, bagi negeri masing-masing. 

Maka, ADUN mempunyai tanggungjawab untuk membahaskan dan meluluskan rang undang-undang atau untuk mencadangkan pindaan bagi undang-undang sedia ada. Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah ADUN di sesebuah negeri perlu hadir untuk memenuhi korum agar DUN boleh bersidang. 

Seperti Parlimen, DUN juga bertanggungjawab untuk meluluskan belanjawan negeri yang dibentangkan oleh kerajaan negeri setiap tahun. Tuntasnya, peranan seorang ADUN di peringkat negeri hampir sama dengan peranan seorang Ahli Parlimen di peringkat nasional. 

Seperti Parlimen, DUN juga akan kekal selama lima tahun selepas pilihan raya negeri sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. Selepas pembubaran DUN, pilihan raya negeri perlu berlangsung dalam tempoh 60 hari dan mana-mana parti atau gabungan politik yang memenangi lebih separuh daripada kerusi DUN akan menerajui kerajaan negeri yang baharu. 

BOLEHKAH SEORANG ADUN JUGA BERKHIDMAT SEBAGAI AHLI PARLIMEN?

Ya, seseorang individu boleh memegang jawatan ADUN dan Ahli Parlimen pada masa yang sama. Malah, Ahli Parlimen yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri juga dibenarkan untuk mengekalkan kerusi DUN mereka. 

Walau bagaimanapun, menurut Perkara 57(4) Perlembagaan Persekutuan, seorang ADUN perlu melepaskan kerusi DUN beliau sekiranya dia dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. 

BOLEHKAH ADUN HILANG JAWATAN JIKA LOMPAT PARTI?

Setakat ini, Akta Anti Lompat Parti atau Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menetapkan yang hanya ahli-ahli Parlimen yang melompat parti akan hilang kerusi Parlimen mereka. 

Tetapi, negeri-negeri lain perlu bersetuju secara sukarela untuk melaksanakan undang-undang yang sama setelah mendapat perkenan Sultan atau persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing. 

Setakat Disember 2022, hanya tujuh negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Negri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang telah berbuat demikian. Justeru, ADUN yang melompat parti di negeri-negeri ini akan dilucutkan jawatan secara automatik. 

Tetapi, ADUN di negeri-negeri lain masih bebas untuk melompat parti.

SIAPA YANG MENYELESAIKAN ISU-ISU DI KAWASAN KEJIRANAN SAYA – ADUN ATAU AHLI PARLIMEN?

Tugas tersebut sebenarnya dilaksanakan oleh kerajaan tempatan. Sebenarnya, Malaysia  mempunyai tiga jenis kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. 

Merekalah yang bertanggungjawab memastikan pembersihan am dan pemungutan sampah secara sistematik di kawasan kejiranan anda.  Justeru, kenalilah mereka. 

sumber : https://www.myundi.com.my/parlimen-101/tugas-dan-fungsi-adun


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *